Thursday 2 May 2013

Kematian suatu keinsafan

Sejak dua menjak ini, diriku dirundung perasaan sedih, pilu malah insaf yang hadir dalam hati ini. Bukan datangnya kerana cinta, bukannya kerana kecewa dan jauh sekali disebabkan kerjaya. Perasaan itu hadir atas rasa insaf ku keatas kematian. Ya, hal kematian sering meruncingkan diriku kerana berbagai persoalan yang hadir dalam benak mindaku.

Aku insaf tatkala terbaca suatu kisah yang dipaparkan oleh temanku di facebook berkenaan seorang wanita yang meninggal ketika solat sebelum wanita itu sempat melangsungkan majlis perkahwinannya. Ketika di bilik persalinan, semasa dia sedang dihiaskan dengan solekan dan pakaian pengantinnya azan isyak berkumandang. Lalu diminta izin dari ibunya untuk dia menunaikan solat fardu isyak sebelum majlis berlangsung tetapi si ibu menolak kerana khuatir tetamu yang datang akan berkata-kata soal solekan yang akan pudar sekiranya dia mengambil wudhuk. Namun dengan lembut wanita itu membalas, dia lebih rela dilihat serba hodoh dimata manusia daripada kelihatan hodoh dimata penciptaNya. Allahurabbi!! Sungguh mulia wanita ini disisi Allah S.W.T. Moga dia ditempatkan bersama para mujahidah solehah di syurga kelak. Amin.

Kisah sedemikian membuatkan aku terasa kerdil dan lemah dimataNya. Adakah aku selayaknya disyurga? Masih banyak dosa dan noktah hitam dalam hati ini. Terlalu sekelumit amalan yang dapat ku bawa bersama ke barzakh nanti. Sampai bilakah aku akan terus hidup dalam dosa ini? Masih sempatkah untuk taubatku diterima nanti, ya Allah? Aku hanya mampu berdoa dan mengharap agar Allah masih sayangkan ku dan matikan ku dalam keadaan yang beriman kepadaNya. Aku masih cuba berusaha untuk mendapatkan kehidupan yang penuh amalan yang diredhai Allah dan akan terus berusaha. "Ya Allah, kuatkanlah kaki hambamu ini untuk terus melangkah, untuk terus berjuang dan terus mencari keredhaanmu. Agar matiku nanti dalam jasad dan roh yang penuh amalan kepadamu, ya Allah...amin ya rabbal alamin".

Nukilan ini aku pahatkan agar menjadi sebuah peringatan dan keinsafan buat saudara-saudara muslimku, sahabat-sahabat handaiku, keluargaku, bakal isteriku, bakal anak-anakku malah buat diriku yang hina lagi lemah ini.

No comments:

Post a Comment